24 Oktober 2009

Ijtihad Yang Tidak Selaras Dengan Ketetapan Ulama Muktabar Menjadikan Umat Islam Keliru

Assalamualaikum....

Saya cuba ketengahkan pendapat ini untuk mendapatkan reaksi daripada pembaca berkenaan dengan tajuk di atas. Saya salah seorang pengamal undang-undang Islam yang terlibat secara langsung dengan kes-kes di dalam Mahkamah Syariah.

Apa yang menarik perhatian saya ialah bagaimana suatu hukum ditetapkan tidak mengikut Mazhab seseorang itu telah berpegang. Sebagai contoh seseorang yang telah berpegang dengan mazhab Al-Syafie, Al-Maliki, Al-Hanbali tidak ada had masa untuk membuat tuntutan. Manakala Al-Hanafi menetapkan had masa sehingga lima belas tahun dan tambahan yang dibuat oleh ulama Al-Hanafi menetapkan sehingga tiga puluh enam tahun. Walaupun begitu di dalam satu kes (saya hanya ingin mengolah dari segi hukum yang patut berpegang sahaja) pihak yang menuntut adalah berpegang dengan mazhab Al-syafie telah dinafikan hak menuntut kerana atas alasan telah melebihi had masa tiga puluh enam tahun (saya percaya hakim merujuk kepada pendapat Mazhab al-Hanafi kerana pada pandangan hakim tersebut hujah dari mazhab Al-Hanafi lebih kuat). maka kes itu telah ditolak.

Maka telah timbul dibenak fikiran saya kenapa hak seseorang yang telah berpegang dengan ijtihad seseorang ulama mujtahid yang muktabar yang mashyur( ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah mazhab yang empat ) telah dinafikan haknya. Bukan hanya merujuk kepada kes di atas, tetapi juga merujuk kepada lain-lain ijtihad contohnya di dalam tuntutan fasakh isteri yang tidak diberikan nafkah. mengikut mazhab Al-Syafie, isteri berhak untuk menfasahkkan perkahwinan setelah suami tidak memperuntukkan nafkah selama tiga bulan berturut-turut. tetapi mazhab Al-Hanafi tidak pula mengharuskannya, tetapi hendaklah di ambil harta suami walaupun terpaksa menjual harta suami untuk mengadakan nafkah kepada isteri.

Dalam perkara ini sudah tentu seseorang perempuan yang berpegang dengan mazhab Al-Syafie akan tertanya-tanya kenapa dia tidak boleh menuntut fasakh setelah suaminya tidak mengadakan nafkah selama tiga bulan berturut-turut, sedangkan dia berpegang dengan mazhab Al-Syafie semenjak kecil lagi. begitu juga dengan pihak yang ditolak kesnya juga berpegang dengan Mazhab Al-Syafie semenjak kecil. Apakah ijtihad Imam Al-Syafie itu salah sehinggakan pegangan kepada Mazhab Al-Syafie dinafikan.

Saya juga telah berjumpa dengan seorang kawan yang sama-sama belajar di dalam bidang pengajian Islam di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) yang telah menamatkan pengajian diperingkat Sarjana di Mesir. Saya telah bertanyakan kepadanya berkenaan dengan masalah yang berlaku seperti di atas. Beliau telah menjawab bahawa tidak salah kita /hakim itu bertaqlid kepada mana-mana mazhab sekiranya tahu dalil (hukum).

Seingat saya juga semasa belajar di dalam pengajian Islam (Syariah) di KUSZA dulu, terdapat satu mata pelajaran Al-Fiqh Al-Muqaran/ Fekah Perbandingan yang membuat bandingan antara mazhab. Skop perbandingan itu biasanya merangkumi mazhab yang empat dengan mendatangkan hujah-hujah yang dikemukakan oleh mazhab-mazhab tersebut berserta dalil-dalil dari Al-Quran dan Al-Sunnah. Dalil yang diambil dari Al-Quran biasanya tidak ada masalah, tetapi dalil dari Al-Sunnah yang menjadi skop perbincangan, iaitu hadis yang dikemukan oleh mazhab samaada diriwayat oleh Imam Al-Bukhari atau oleh imam Hadis yang lain. kebiasaanya pendapat mazhab yang bersandar kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang paling utama akan dipilih sebagai hukum.

Saya juga pada mula juga terpengaruh dengan amalan ini, tetapi setelah pulang ke asrama saya cuba amalkan. Walaupun begitu saya ragu-ragu dengan amalan ini kerana saya terpaksa mengharuskan apa yang tidak diharuskan oleh mazhab yang telah saya pegang. Sebagai contoh semasa Takbiratul Al-Ihram, saya wajib kena niat dengan adanya tiga perkara iaitu Qasad, Ta'arud dan Ta'yin (orang yang berpegang dengan mazhab Al-Syafie akan faham) tetapi mazhab Al-Hanafi tidak perlu, niat semasa hendak berwuduk dengan tujuan untuk solat zohor contohnya, cukup dengan mengangkat takbir sahaja tanpa perlu ada tiga rukun tadi. Maka saya telah menolak amalan ini dan terus berpegang dengan mazhab Al-Syafie sahaja. Saya juga berpegang mana-mana mazhab yang empat adalah betul dan hendaklah seseorang itu berpegang kepada mazhab seperti mana ulama mujtahid yang wajib berpegang kepada hukum yang telah beliau ijtihadkan, maka lebih-lebih lagi kepada orang yang bertaqlid kepada ijtihad mujtahid itu hendaklah berpegang kepada hukum mujtahid itu.

Sekiranya seseorang bertaqlid bebas mengamalkan mana-mana ijtihad tanpa terikat dengan ijtihad seseorang mujtahid, maka orang bertaqlid itu lebih 'hebat' dari imam mujtahid. Ini kerana imam mujtahid ada hukum padanya sesuatu itu menjadi haram dan batal, jika seseorang boleh bertaqlid secara tidak terikat maka sudah tentu tidak terikat hukum haram dan batal. Sebabnya apabila dia dapati pada pandangan mazhab Al-Syafie mengatakan berkahwin tanpa wali tidak sah, maka dia akan berpegang pula dengan mazhab Al-Hanafi yang mengharuskan perkahwinan tanpa wali.

Begitu juga imam yang empat juga termasuk ulama-ulama muktabar seperti imam Al-Nawawi, Al-Rafaie dan lain-lain ulama tidak pernah membuat amalan perbandingan mazhab. bahkan mereka berpegang dengan mazhab. jika terdapat masalah baru mereka akan berijtihad dengan menggunakan method imam Al-Syafie seperti merujuk Usul-Fiqh dan Kaedah Fiqh Imam Al-Syafie. seperti contoh pembayaran Fitrah hanya boleh dibayar dengan makanan asasi setempat pada pandangan imam Al-Syafie. Kemudian telah timbul persoalan adakah Fitrah boleh dibayar dengan wang seperti mana mazhab Al-Hanafi. Maka ulama Al-Syafie telah berfatwa bahawa harus membayar Fitrah dengan wang, tetapi bayaran dengan wang itu hendaklah berdasarkan harga makanan asasi tersebut. itulah yang telah diamalkan olah orang berpegang dengan mazhab Al-syafie sehingga sekarang termasuklah saya sendiri. Walaupun Fitrah telah dibayar dengan wang tidak menghalang pihak yang ingin membayar dengan makanan asasi tersebut.

Maka, persoalan yang timbul tadi saya telah jawapan bahawa hukum Syarak adalah berasaskan kepada ijtihad/fatwa dan bukannya berdasarkan kepada 'Taqlid Berilmu'. Pada asasnya seseorang yang layak hendaklah berijtihad bukannya bertaklik, tetapi bagi seseorang yang tidak layak maka hendaklah bertaqlid kerana amalan tidak boleh dibuat sekiranya tiada ilmu.

Sehubungan itu juga pihak yang berpegang dengan ijtihad mazhab lain tidak boleh mempertikai ijtihad yang telah dipegang oleh seseorang dalam mazhab tertentu. maka itu, tidakkah seorang hakim perlu menghormati pegangan pihak yang hadir di hadapannya, walaupun dia seorang yang ulama mujahid. sebagai contoh di dalam pengesahan perkahwinan pasangan yang hadir berkahwin tanpa wali tidak boleh dihukum tidak sah. jika pasangan itu berpegang dengan mazhab Al-Hanafi maka hukumnya sah, jika pasangan itu terutama perempuan adalah berpegang kepada mazhab Al-Syafie maka ia menjadi tidak sah, jika perempuan itu berpegang dengan mazhab Al-Hanafi maka perkahwinan itu tetap sah walaupun suami berpegang dengan mazhab Al-Syafie.

Walaupun begitu isteri yang berpegang dengan mazhab Al-Hanafi berdosa jika perkahwinan tanpa wali itu tidak dibuat dalam keadaan terpaksa di mana wali ada di dalam lingkungan dua marhalah dan wali itu bukan wali enggan. (ini adalah hukum yang dinyatakan oleh ustaz saya iaitu arwah ustaz Abdul Rahman Al-Fatani-juga pernah menjadi ulama rujukan di negeri Terengganu). contoh yang diberi oleh ustaz saya hukum bermain dengan catur pada pandangan mazhab Al-Syafie adalah makruh, dan tiga lagi mazhab hukumnya haram. jika seseorang yang bermazhab Al-Syafie mengajak seseorang yang berpegang dengan mazhab Al-Maliki contohnya, maka seseorang yang berpegang dengan mazhab Al-Syafie itu juga berdosa kerana mengajak seseorang yang berpegang dengan mazhab Al-Maliki membuat perkara yang haram pada sisinya.

Maka, Kaedah Al-Ijtihad La Yunqodu Bi Al-Ijtihad atau maknanya Ijtihad itu tidaklah boleh dibatal oleh Ijtihad, adalah sangat tepat dan mempunyai kesan yang sangat besar kepada hukum Syarak. Alangkah indahnya dan tersusunnya apa yang telah ditetapkan oleh ulama dahulu, menjadikan hukum Syarak tersusun dengan baik untuk diamalkan oleh umat Islam sehingga sekarang.

Walaupun begitu ia telah menjadi rosak dengan adanya pihak yang cuba mempertikai apa yang telah disediakan oleh ulama terdahulu, dengan mendatangkan pelbagai hujah. Di antara hujah yang biasanya, syarat-syarat untuk menjadi mujtahid terlalu ketat itu adalah ditetapkan oleh ulama bukannya ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w..

Saya telah menjawab kepada orang yang telah berkata sedemikian, bahawa penetapan hadis sahih dan hadis daif serta tingkatan kedudukan hadis berdasarkan riwayat itu di tetapkan oleh ulama atau Rasulullah s.a.w.. pernahkah Rasulullah s.a.w. semasa menyampaikan Hadis mengatakan hadis tersebut sahih dan hadis lain pula daif. bukankah semua itu ditetapkan oleh ulama hadis. Jadi, kaedahnya adalah sama walaupun syarat untuk menjadi mujtahid itu ketat, imam yang empat terutamanya telah melepasi syarat-syarat itu. Maka, pihak yang tak memenuhi syarat-syarat itu tak perlulah mencipta apa-apa alasan untuk menjadikan dirinya boleh berijtihad. Jikalau Al-Quran pun setakat ayat-ayat Muqaddam sahaja yang boleh ingat, nak tahu hukum terpaksa tengok hujah dan dalil yang dibawa oleh imam mujtiahid, tak payah lah nak dakwa diri sebagai mujtahid. Ulama dahulu bukan sahaja menghafaz Al-Quran seluruhnya bahkan juga menghafal hadis-hadis. Dengan kata lain seseorang yang mana ada keseluruhan Al-Quran di dalam dirinya, adalah seseorang yang sangat tinggi tarafnya di sisi Allah.

Kalimah suci itu hanya akan kekal di dalam diri orang yang tidak membuat dosa dan ia akan luput sekiranya seseorang itu ada dosa. setuju atau tidak itulah hakikatnya.

Ulama dahulu juga adalah sangat menjaga hubungan mereka dengan Allah. Contohnya imam Al-Syafie membaca Al-Quran sehingga Khatam sebanyak enam puluh kali dalam sebulan dalam bulan puasa. begitu juga dengan imam-imam yang lain yang mempunyai kehebatan di dalam beribadat kepada Allah. Sahabat-Sahabat Rasulullah s.a.w. lagi hebat boleh membaca seluruh al-Quran dalam dua rakaat solat sunat sahaja. Walaupun mereka tidak dibekalkan dengan kitab-kitab hadis mereka boleh menghafal dan ingat hadis tersebut sehingga mati, bukan satu bahkan sampai beratus ribu hadis.

Jika dibandingkan dengan pihak yang nak berijtihad pada masa sekarang yang mendakwa syarat-syarat mujtahid sangat ketat itu, berapakah hadis yang dia ingat, dan adakah dia boleh boleh ingat semua perawi-perawi untuk setiap hadis. walaupun begitu yang dijawabnya perawi-perawi tak penting kerana kita merujuk kepada kitab hadis. Saya rasa nak muntah, kalau dah jahil dan bodoh tak payah mengadakan pelbagai alasan nak menafikan apa yang telah ditetapkan oleh ulama mujtahid terdahulu.

Pada pandangan saya pihak yang layak untuk membuat perbandingan samaada mazhab mana yang betul untuk diamalkan hanyalah Rasulullah s.a.w. sahaja. Ini kerana perbezaan pandangan di antara ulama mujtahid adalah berdasarkan kepada penafsiran ke atas hadis Rasulullah s.a.w., maka pihak yang boleh mengatakan hujah mazhab mana yang betul hanya Rasulullah s.a.w.. maka juga boleh dikatakan kepada pihak ini bahawa diorang ini lebih 'hebat' dari ulama mujtahid yang muktabar. Sekiranya ' ' itu setakat pada perkataan 'hebat' sahaja tidak ada apa-apa masalah. Cuma takut-takut ' ' ada kat atas kepala cuba bayangkan siapa dia!!!. jawab sendiri ya.

Maka, akhir kata lihatlah apa yang berlaku di dalam masyarakat kita hari ini, timbulnya pelbagai hukum bagaikan pakaian yang dijual di pasar. setiap orang berijtihad dalam keadaan jahil (tidak memenuhi syarat) lalu berhukum dalam keadaan jahil. Kemudian pula timbul pula tidak berpegang dengan satu -satu mazhab, sehingga hakim dalam mahkamah pun keliru dengan kata-kata hakim itu tidak terikat dengan satu-satu mazhab untuk berhukum. memang betullah hakimtidak boleh menetapkan hukum kepada pihak-pihak yang hadir berdasarkan kepada satu mazhab sahaja, kerana pihak-pihak mungkin berpegang dengan hukum dalam mazhab yang bukan hukum mazhab yang ditetapkan oleh hakim. Hakim itu sendiri juga harus melihat samada beliau seorang mujtahid mutlaq atau tidak. Sekiranya beliau seorang mujtahid mutlaq maka beliau hendaklah berijithad sendiri untuk dirinya sahaja. Beliau tidak boleh menghukumkan hukum yang beliau telah ijtihad kepada seseorang yang telah berpegang dengan ijtihad mujtahid muktabar lain. jika beliau bukan mujtahid mutlaq maka beliau juga wajib bertaqlid.

sekiranya ketetapan ulama muktabar cuba diubah kesannya amat buruk yang mana kemudiannya menjadikan umat Islam menjadi keliru.

sekian, wassalam



1 ulasan: