20 Januari 2010

Mahkamah Syariah-Pendekatan Yang Sesuai Dengan Hukum Syarak Perlu Diteliti Untuk Kebaikan Umat Islam.

Assalamualaikum....

Saya tertarik dengan apa yang berlaku di dalam Mahkamah Syariah yang saya hadiri pada beberapa hari yang lalu.

Saya tertarik dengan satu kes Tuntutan Nafkah Anak, di mana Saman telah sempurna tetapi bekas suani tidak hadir, Mahkamah telah menetapkan kes ditetapkan untuk bicara dan Mahkamah ada menyebut kehadiran saksi.

Pada pandangan saya di dalam kes ini Mahkamah Syariah tidak salah menggunakan pendekatan yang digunakan di Mahkamah Sivil berkenaan dengan Defendan/pihak yang dituntut tidak hadir setelah sempurna penyampaian saman, Mahkamah Sivil terus mengeluarkan perintah sebagaimana yang dituntut oleh Plaintif. Saya bukan seorang peguam yang beramal di Mahkamah Sivil, tetapi saya yakin tuan-tuan yang terbaca artikel ini boleh memahaminya.

Apa yang bermain di dalam fikiran saya, kenapa di dalam kes tuntutan nafkah anak setelah sempurna penyampaian saman, defendan tidak hadir, kenapa perlu kepada bicara dengan ditetapkan tarikh lain untuk bicara dan perlu kehadiran saksi. Kenapa Mahkamah Syariah tidak boleh menggunakan pendekatan Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah boleh terus mengeluarkan perintah sepertimana Tuntutan Plaintif. Walaupun begitu saya tidak mengatakan bahawa pendekatan tersebut sesuai untuk semua kes di dalam Mahkamah. Mahkamah Syariah boleh menggunakan pendekatan tersebut untuk tuntutan nafkah anak dan hadhanah.

Saya begitu kesian dengan plaintif sebagai ibu kepada anak-anak yang memerlukan peruntukan nafkah untuk anak-anak bagi mengharungi kehidupan, terpaksa turun naik mahkamah. Bayangkan betapa perik dan jerihnya plaintif apabila saman yang dikemukakan untuk tuntutan juga mengambil masa untuk disempurnakan, apabila saman telah sempurna, defendan pula tidak hadir. Mahkamah kemudiannya telah menetapkan untuk bicara untuk peruntukan nafkah RM 200.00, perlu kemukakan saksi-saksi.

Seterusnya untuk menghabiskan prosiding Mahkamah, plaintif pula perlu bersabar dengan penangguhan yang mungkin akan terjadi dengan tangguhan yang tidak dijangka. Kadangkala jika tidak bernasib baik kes tertangguh berbulan-bulan dan mungkin menjangkau tahun. Anak yang mengharap dapat peruntukan nafkah dari bapa terpaksa menunggu seperti sabarnya ibu yang mengharap kes di dalam Mahkamah Syariah selesai yang tidak diketahui bilanya.

Saya cadangkan supaya Mahkamah Syariah mengambil pendekatan Mahkamah Sivil di dalam masalah ini. Pendekatan ini tidak bertentangan dengan Hukum Syarak. Ini kerana keperluan kepada Nafkah adalah satu keperluan Daruri (asas) dan keengganan Defendan/bapa menghadiri hari sebutan adalah suatu penghinaan kepada mahkamah kerana engkar dengan perintah mahkamah, maka, adalah tidak menjadi kesalahan kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah nafkah tanpa perlu bicara.

Sekiranya Defendan  tidak berpuashati dengan keputusan, Defendan perlu mengemukakan bukti bahawa Defendan tidak mampu membayar naflkah seperti yang diputuskan oleh Mahkamah. Selagimana tiada keputusan Mahkamah yang mengakas keputusan nafkah yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Defendan adalah terikat membayarnya kepada Plaintif.

Pendekatan ini juga boleh memberikan signal kepada Defendan supaya tidak engkar dengan perintah Mahkamah untuk hadir ke mahkamah.

maka saya berpendapat bahawa  adalah perlu Mahkamah menggunakan pendekatan yang boleh memberikan manfaat kepada pihak lemah supaya dapat keadilan yang sepatutnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan